My Followers

Tuesday, December 31, 2013

Selamat Tinggal 2013 Yang Penuh Kenangan

Assalamualaikum...

Apa khabar semua readers missedamisha.blogspot.com Semoga semua berada dlm lindungan Allah SWT. Sedar tak sedar kita semua sudah berada dipenghujung tahun 2013... Esok 1 Januari 2014 kita akan berada di lembaran baru. Bermakna bertambah lagi usia, semakin banyak tanggungjawab yang bakal dipikul. 

Mengimbau kembali perjalanan awal tahun 2013 dahulu, daku mulakan dengan cerita sedih bilamana terpaksa meninggalkan bayi yg baru berusia beberapa minggu di kampung. Ini kerana aku masih perlu mengikuti sesi pra-praktikum yang diwajibkan keatas semua guru pelatih di IPG. Menyambut ulangtahun yang ke-30 seorang diri jauh dari bayi yang baru dilahirkan serta suami yang bertugas di negeri berlainan menjadikan daku lebih tabah mengharungi perjalanan hidup ini.

11 Januari 2013
Hari ke-28 berpantang

Berat rasa hati meninggalkan bayi yg masih merah apatah lagi dengan diri yang masih dalam tempoh berpantang, daku terpaksa berpindah ke Port Dickson untuk menjalani latihan praktikum. Mujurlah diperkenalkan dgn rakan2 guru yang sangat membantu dan prihatin. Urusan menyewa bilik dan pengangkutan ke sekolah menjadi mudah. Ditambah pula dengan Guru Pembimbing dan Pensyarah Bimbingan yang super duper sporting membuat diriku berasa sangat bertuah.




Menyelusuri peristiwa 2013 daku diuji pabila disahkan hamil lagi. Namun sayang kerana kali ini kandungan berada diluar rahim dan terpaksa dibedah. Operasi pembedahan terpaksa dilakukan segera atas kes kecemasan. Tidak sempat berasa sedih, malah masih lagi terkejut hingga ke saat entry ini ditaip. Perasaan tak sangka menguasi diri kerana tiada tanda daku hamil lagi berikutan period berjalan seperti biasa. Namun kuasa Allah tiada siapa boleh menolaknya. Pabila Allah berkata “ku faya kun” Bila Allah berkehendak serta menghendakinya, dan pabila Dia telah menetapkan sesuatu maka Allah berfirman kepadanya: "Jadilah", maka jadilah dia. Begitulah beberapa ungkapan ayat-ayat kun [jadi] maka faya kun [jadilah] dalam al-Qura’an. Anak keduaku telah pergi namun kehadirannya tak pernah ku lupakan…..



Pabila praktikum hampir ke penghujungnya, diriku gembira bukan kepalang kerana tamatlah sudah pengajianku di IPG yg agak sukar. Kesukaran itu ku terjemahkan kerana daku hamil anak sulung sepanjang semester 1 dan 2. Dengan tiada pengalaman kerana pertama kali mengandung ku ajar diri agar tidak terlalu manja. Berseorangan ketika morning sickness tanpa suami sangat mencengkam jiwa. Betapa sulit untuk bangun dari pembaringan dengan perut memboyot yg hanya ibu hamil saja memahami. Tanpa suami. Tanpa family.


Daku rasakan itu memori ‘manis’ sepanjang hayat. Apatah lagi dgn IQ yg sederhana dan tidak secemerlang rakan2 lain membuat diriku sering ketinggalan dlm pelajaran. Ketiadaan pengangkutan sangat merumitkan perjalan hidupku. Bersyukur kerana dikelilingi rakan2 yg sudi menumpangkan diri ini. Alhamdulillah jasa kalian ku kenang hingga penghujung nyawa. Namun yg lebih mengembirakan tentulah daku dpt kembali bersama Adelia dan mula mengasuh anakku sepenuhnya.



Oktober menjelma dan tibalah masa kesemua calon guru menjalani temuduga. Alhamdulillah urusan dipermudahkan kerana panel penemuduga tidak memberi soalan2 killer namun lebih kepada perbincangan santai dan nasihat. Segala kata2 azimat daripada panel agar kami menjadi guru yang beringtegriti akan ku semat selamanya dalam sanubari.

Tiba pula hari yang dinantikan pabila upacara konvokesyen bagi meraikan kejayaan. Walau agak sedih kerana Adelia tidak sihat dan sakit mata namun daku bahagia menyambut detik bersejarah mengenggam scroll pendidikan dikongsi bersama suami dan ibu tersayang. Segala penat lelah belajar & mengandung membuat daku lebih emosi tatkala merangkul Adelia yang ku kandung selama di IPG. Alhamdulillah daku memperolehi keduanya : Diploma Pendidikan dan anak perempuan yang super duper cute.


Tiada yang lebih gembira bila menyambut harijadi anak sendiri yang ke setahun ! Alhamdulillah Adelia membesar dengan bijak dan aktif. Syukur...besar harapan ku agar dirinya menjadi anak yang membanggakan keluarga. Meraikan harijadi Adelia pada 15 Disember 2013.



Alhamdulillah pabila surat lantikan akhirnya tiba ke pangkuanku. Betapa gembira kerana inilah ‘nyawa’ yang akan membawaku keperingkat seterusnya. Bila surat lantikan sudah ada bermakna lulus temuduga.  Surat lantikan adalah penentu masa dpn. Logiknya, dgn adanya surat lantikan dari SPP baru penempatan akan diberi. Syukur…


Mengisi waktu2 akhir ‘percutian’ ini, hati berdebar2 pula menunggu result penempatan. Akibat terlalu risau berjauhan lagi dengan anak dan suami membuat diriku agak tertekan. Ironinya bukan daku sahaja berperasaan sedemikian. Kukira seluruh warga DPLI juga merasai apa yang ku rasa kerana penempatan sekolah adalah sesuatu yang penting. Di situlah segalanya akan bermula. Semoga niatku posting berhampiran dengan suami diperkenaankan Allah SWT.

SEMOGA SINAR 2014 YANG BAKAL MUNCUL AKAN MELIMPAHKAN SIRNANYA BUAT DAKU SEKELUARGA. AAMIN…


Selamat tinggal 2013.
Selamat datang 2014.

Satu permulaan yang baru.


Monday, December 2, 2013

Apa itu Shaklee ??

SHAKLEE !!!

Apa itu Shaklee ??

Sebelum ni sy pn x tau apa Shaklee ni. Masa mengandungkan Adelia sy banyak join group ibu mengandung dan Like page2 berkaitan kehamilan. Biasalah...1st time mengandung. Soalan2 yg diajukan banyak membantu sy memahami setiap situasi ketika pregnant. Namun bila baca komen2 yg diberikan oleh readers memanjang ada je yg suggestkan Shaklee. Sebagai seorang pemakan vitamin tegar sejak sekolah sy rasa tercabar nak tau apa itu Shaklee.
.
Minuman kah?


Serbuk kah? 


Pil kah? 


Losyen kah?

Lantas sy pon google. Nah....berduyun keluar artikel berkenaan Shaklee. owhhh ketinggalannya sy kerana Shaklee sudah lama wujud selama lebih 50 tahun. Ini membuktikan semua produk keluaran Shaklee SELAMAT dan terbukti BERKESAN.





Selepas berpantang sy memberanikan diri mencuba supplement Shaklee. Sy PM semua page yg jual Shaklee sambil2 survey harga. Hahahaha...Produk pertama yg sy cuba ialah Alfalfa. Pengalaman sy bersama Alfalfa sangatlahhhhhhh BEST. Nak tau lebih lanjut knpa sy beli Alfalfa leh pm tau :)





Tak lama selepas itu sy order lagi VITA-E COMPLEX. Sebabnye kulit sy selepas bersalin nampak malap jer...cam suram jer...cam muram jer..
Hasilnya? ---> Woooowww!! Berkesan. 
Tak tipu ni. Kadang2 sy cucuk dkt pil tu dan cecairnya sy tepek kat jerawat. Muhmuhmuhmuh....Terbaek!



Dengan takdir Allah sy diberi sedikit ujian kesihatan slps itu dan memerlukan sy makan ubat utk tambah darah. Semestinya VITA-LEA dan VITA-B COMPLEX menjadi pilihan. Sy cepat2 order dan makan ikut aturan. Bila pg hospital utk checkup doctor pon kata HB sy dah okey. 

Horayyyy ♥ x payah pg hospital dah. Syukur.



yg pregnant n berpantang better ambil ni tau. serius best!




Kini sy masih kekal bersama Shaklee biarpun saya ada mengamalkan beberapa supplement lain utk kesihatan dan kecantikan. Sy juga mengambil Vita-C  untuk kesihatan kulit dan dan Herb-Lax utk kekal langsing. 







Untuk anda yg masih ragu dan keliru sila pm @ whatApps 0129394826 utk bertanyakan tentang Shaklee. Insya Allah ada jawapannya.

Ikhlas,
Eda Amisha
Shaklee Indipendent Distributor
ID 1080550

https://www.facebook.com/kioskmamadel


Thursday, October 10, 2013

Persediaan Temuduga 3 : GURU MALAYSIA : 1ASPIRASI, 1AGENDA


Hari Guru di Malaysia disambut pada 16 Mei setiap tahun. Tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada tarikh yang sama dalam tahun yang sama 1956, Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council ) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report Of The Education Commitee ) sebagai dasar pelajaran negara kita. 

Dokumen tersebut dikenali sebagai Laporan Razak, telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak hari itu.
  • 1. Menitikberatkan peranan guru dalam pembinaan kebangsaan (termasuk perpaduan dan integrasi), pembangunan negara dan perkhidmatan kepada masyarakat.
  • 2. Menarik perhatian ibu bapa , murid dan orang ramai kepada peranan penting kaum guru dalam masyarakat Malaysia.
  • 3. Memupuk semangat perpaduan ikhtisas dan muhibbah di antara guru.
  • 4. Meninggikan martabat dan taraf guru dalam masyarakat.
  • 5. Memberi peluang untuk memajukan kecekapan guru melalui seminar, persidangan, melanjutkan pelajaran dan sebagainya.
  • 6. Menilai secara objektif peranan guru dengan berlatarbelakangkan Malaysia dan mengambil langkah-langkah supaya peranan itu lebih berkesan.
Pada tahun 2013 ini tema Hari Guru membawa tajuk, Guru Malaysia : 1Aspirasi, 1Agenda dan ia berkait rapat dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 - 2025. Jika ditinjau dari PPPM ini, intipatinya adalah 5 aspirasi sistem iaitu melalui akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan. 


Antara lain intipati PPPM 2013 - 2025 adalah anjakan transformasi melalui 3 gelombang yang disasarkan oleh kementerian untuk 13 tahun nanti. PPPM juga menyenaraikan 11 anjakan utama untuk transformasi sistem pendidikan secara menyeluruh di negara kita:

  1. Menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa
  2. Memastikan seriap murid profisien dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris
  3. Melahirkan rakyat Malaysia dengan penghayatan nilai
  4. Transformasi keguruan sebagai profesion pilihan
  5. Memastikan kepimpinan berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah
  6. Mengupaya JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan
  7. Memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di sekolah
  8. Mentransformasikan kebolehupayaan dan kapasiti penyampaian kementerian
  9. Berkerjasama dengan ibubapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas
  10. Memaksimumkan keberhasilan murid bagi setiap ringgit
  11. Meningkatkan ketelusan untuk akauntabiliti awam secara langsung.


HURAIAN TEMA HARI GURU 2013

 GURU MALAYSIA : 1ASPIRASI, 1AGENDA


HURAIAN 1ASPIRASI:

Semua Guru Malaysia mempunyai satu aspirasi untuk membangunkan sistem pendidikan berkualiti bertaraf dunia seperti yang dihasratkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Adalah menjadi tanggungjawab semua guru ke arah melahirkan murid yang mempunyai enam aspirasi iaitu berpengetahuan,kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, beretika dan kerohanian serta beridentiti nasional.

1ASPIRASI juga diterjemahkan kepada cita-cita murni PPPM 2013-2025 iaitu ke arah sistem pendidikan negara yang memastikan akses kepada kejayaan, kualiti standard antarabangsa yang tinggi, ekuiti untuk semua murid, memupukperpaduan dalam kalangan murid dan pelaksanaan berkecekapan tinggi.


HURAIAN 1AGENDA:

Semua Guru Malaysia berpegang kepada satu agenda iaitu memastikan kejayaan PPPM 2013-2025.  Guru perlu berpegang teguh kepada etika profesion keguruan yang mempunyai satu agenda atau tugas utama iaitu melahirkan murid seimbang berdasarkan Falsasah Pendidikan Negara.


Berikut ialah senarai Tema hari guru mengikut tahun :
1972 Peranan Guru Dalam Pembangunan Negara
1973 Kerjasama Ibu Bapa Untuk Kemajuan Pendidikan
1974 Peranan Guru Dalam Zaman Sains dan Teknologi
1975 Guru dan Pembangunan Negara
1976 Pendidikan Moral Dalam Zaman Kemajuan Pendidikan
1977 Dedikasi dan Disiplin Asas Kemajuan Pendidikan
1978 Guru Pembentuk Generasi Akan Datang
1979 Murid Sejahtera Negara Jaya
1980 Pendidikan Teras Perpaduan Negara
1981 Pengorbanan Guru Kejayaan Rakyat
1982 Ke Arah Kecekapan Guru Dan Pendidikan Bermutu
1983 Kepimpinan Berteladan Teras Pendidikan
1984 Kepimpinan Berteladan Kesempurnaan Pendidikan
1985 Guru dan Masyarakat Asas Kemajuan Pendidikan
1986 Pendidikan Teras Nasionalisme
1987 Pendidikan Ke Arah Kesejahteraan Insan
1988 Guru Pengasas Budaya Membaca
1989 Guru Pembina Budaya Ilmu
1989 Guru Pembina Budaya Ilmu
1990 Pendidikan Bermutu Masyarakat Sejahtera
1991 Ke Arah Pendidikan Cemerlang
1992 Guru Cemerlang Teras Kejayaan Wawasan
1993 Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan
1994 Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan
1995 Permuafakatan dan Perpaduan Menjayakan Wawasan
1996 Guru Malaysia Teras Pendidikan Bertaraf Dunia
1997 Guru Bestari Sekolah Bestari
1998 Guru Penyemai Tanggungjawab Bersama
1999 Guru Berkesan Pendidikan Cemerlang
2000 Bersatu Memartabatkan Profesion Keguruan
2001 Memartabatkan Profesion Keguruan tanggungjawab Bersama
2002 Guru Berkualiti Aspirasi Negara
2003 Guru Berkualiti Aspirasi Negara
2004 Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
2005 Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
2006 Pendidikan Bestari Pemangkin Kegemilangan
2007 Guru Penjana Modal Insan Cemerlang
2008 Guru Cemerlang Negara Terbilang
2009 Guru Pembina Negara Bangsa
2010 Guru Pembina Negara Bangsa
2011 Guru penjana transformasi pendidikan negara
2012 Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara
"GURU MALAYSIA"


Kami guru Malaysia
Berikrar dan berjanji
Mendidik dan memimpin
Putra putri negara kita

Pada Seri Paduka
Kami tumpahkan setia
Rukun Negara kita
Panduan hidup kami semua

Di bidang pembangunan
Kami tetap bersama
Membantu, membina
Negara yang tercinta

Amanah yang diberi
Kami tak persiakan
Apa yang kami janji
Tunai tetap kami tunaikan


Sunday, October 6, 2013

Persediaan Temuduga 2 : Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025





1.        Apa itu Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM)?
· Laporan Awal dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia pada 11 September 2012.
· PPPM merupakan usaha Kementerian Pendidikan Malaysia untuk melonjakkan sistem pendidikan Negara untuk berada dalam kalangan negara sepertiga teratas sistem pendidikan terbaik di dunia
· Untuk julung kalinya pandangan daripada pihak awam diambil kira dalam penggubalan Pelan Pendidikan melalui 16 Dewan Terbuka di 14 negeri, 20 meja bulat, lebih 200 memorandum - 7000 syor diterima dan ditimbangkan dalam PPPM
· Dapatan kajian daripada 6 IPTA, UNESCO, World Bank, TIMSS dan PISA digunakan dalam pembangunan PPPM
· Menggariskan 5 aspirasi sistem, 6 aspirasi murid untuk dicapai melalui perubahan yang perlu berlaku melalui 11 Anjakan dan dilaksanakan dalam Tiga Gelombang

2.        Apa beza PPPM berbanding Pelan lain yang pernah diperkenalkan dahulu?
· Fasa diagnostik untuk menentukan baseline sistem pendidikan Negara
· Public engagement dengan rakyat – input digunakan dalam pembangunan pelan
· Policy statement, strategic and operations
· Menggariskan 5 aspirasi sistem untuk menyediakan murid dengan kemahiran abad ke 21 – memastikan murid mencapai 6 aspirasi murid dalam PPPM iaitupengetahuankemahiran berfikirprofisiensi dwibahasa (dan galakan untuk menguasai bahasa lain), kemahiran kepimpinanidentiti nasional,etika dan kerohanian

3.        Selepas pelancarannya nanti, apakah inisiatif-inisiatif yang bakal dilakukan oleh kerajaan untuk menjalankan polisi-polisi yang terkandung dalam plan ini?
· Membentuk 1Agenda Kementerian – 100 inisiatif dikenal pasti untuk dilaksanakan dalam Tiga Gelombang sehingga 2025.
· 25 inisiatif utama telah dikenal pasti dan 13 inisiatif disasarkan untuk dicapai pada hujung tahun ini.
· Kementerian Pendidikan sangat beriltizam untuk memastikan usaha atau inisiatif ini dilaksanakan dan menepati sasaran yang ditetapkan.
· 6 inisiatif telah disasarkan untuk dicapai dalam masa 100 hari dan Alhamdulillah telah dapat dilaksanakan dan diumumkan oleh YAB TPM pada 10 April 2013 di SMK Jalan 4 Bangi, Bandar Baru Bangi.
· Pada hujung tahun ini Kementerian mensasarkan 7 lagi inisiatif yang sedang giat diusahakan termasuk mencapai 100% literasi (BM) dan numerasi bagi Tahun 3; 1,608 sekolah yang memerlukan pembaikan kritikal dibaiki.

4.        Mengapa Kementerian Pendidikan mengumumkan pencapaian 100-hari PPPM?
· Menunjukkan komitmen dan iltizam Kementerian dalam melaksanakan PPPM.  Kajian menunjukkan dalam mana-mana usaha reformasi pendidikan, jangkamasa 100 hari merupakan indikator penting sama ada sesuatu perancangan berjaya atau gagal.
· Transformasi pendidikan ini adalah legasi negara yang bukan sahaja melibatkan 5.5 juta pelajar hari ini tetapi juga seluruh anak bangsa pada masa akan datang.  Kita perlu memastikan bahawa segala perencanaan ini tidak akan gagal di pertengahan jalan.
· Selepas pelibatan awam yang intensif pada peringkat PPPM dibangunkan dan selepas PPPM dilancarkan, rakyat mempunyai hak untuk mengetahui pencapaian Kementerian, selaras dengan Anjakan ke 11 untuk meningkatkan ketelusan untuk akauntabiliti awam secara langsung.

5.        Apa inisiatif PPPM yang telah dan sedang dijalankan oleh Kementerian sekarang?
· Seperti yang dinyatakan sebelum ini, terdapat 25 inisiatif utama yang telah dikenal pasti untuk digerakkan daripada peringkat awal lagi bagi mencapaioutcome yang dihasratkan, terutama dalam bidang-bidang kritikal.
· Bagi meningkatkan keberhasilan murid, Kementerian percaya bahawa usaha secara bersepadu dari pada semua pihak adalah penting.  Sebagai contoh, Kementerian melalui Anjakan 9 iaitu Bekerjasama dengan Ibubapa, Komuniti dan Sektor Swasta secara meluas telah pun melancarkan Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah pada 24 Februari 2013 dalam usaha membentuk satu ekosistem pembelajaran di kawasan masing-masing.
· Inisiatif ini bermula dengan perkara yang mudah, contohnya di SK Presint 14 (1) Putrajaya, PIBG mengorak langkah untuk menjaga trafik di sana.  Di sekolah tersebut ibu bapa juga membantu melukis mural dan keceriaan kelas. (MHI TV3 ada video di sekolah tersebut yang boleh ditayangkan)
· Di SMK Tuanku Jaafar Senawang juga, kelas semakin cantik dengan kemas berkat sokongan ibu bapa, dan apabila murid mula menjaga kebersihan kelas, lama kelamaan ia menjadi satu budaya kepada murid tersebut dan sekolah menjadi tempat yang sangat kondusif kepada proses pembelajaran.
· Kementerian juga berusaha untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan kepada sekolah.  Justeru, Kementerian berusaha untuk mengupayakan JPN, PPD dan pemimpin sekolah untuk mengubah paradigma dan melihat diri mereka bukan hanya sebagai pengoperasi sesuatu dasar Kementerian tetapi sebagai pemikir dan penggerak kepada transformasi itu sendiri.
· Di  bawah  Anjakan  6 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia ini, Kementerian akan mempercepat penambahbaikan prestasi sekolah melalui program yang sistematik dan dipimpin oleh PPD disemua negeri menjelang 2014 dan memastikan 100% sekolah memenuhi keperluan infrastruktur asas menjelang 2015, bermula dengan Sabah dan Sarawak.

6.        Apakah inisiatif Kerajaan bagi menentukan bahawa Guru dapat fokus dalam menjalankan tugas sebenar mereka iaitu mendidik?
· Kementerian sedar bahawa tugas pentadbiran berlebihan mengambil masa urusan teras guru dalam pengajaran dan pembelajaran,serta mengurangkan keberkesanan pengajaran mereka. Oleh itu, Kementerian akan mengambil dua tindakan utama dalam Gelombang 1 bagi mengurangkan beban tugas yang keterlaluan.
o        Pertama, Kementerian telah mula menyeragamkan sistem pengurusan dan pengumpulan data sedia ada bagi menghapuskan pertindanan permintaan data. Tiga pangkalan data telah disasarkan untuk proses penyeragaman awal: Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS) yang digunakan untuk menggabungkan keputusan murid dari pada peperiksaan semester berasaskan sekolah; Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) yang digunakan untuk memantau keputusan PBS dan Sistem Maklumat Murid (SMM) yang mengandungi data murid. Perubahan ini seharusnya menghapuskan permohonan berulang bagi data yang sama dan memudahkan proses memasukkan data baharu ke dalam sistem. Kementerian juga akan mengkaji semula keperluan menyediakan pendokumentasian dan laporan terkini (sebagai contoh, keperluan untuk pensijilan ISO) bagi mengenal pasti bidang untuk diseragamkan.
o        Kedua, Kementerian akan mengenal pasti kaedah bagi mengatasi isu kesesakan di sekolah yang mempunyai purata saiz kelas melebihi 35 murid. Kaedah yang dicadangkan termasuk pembinaan bilik darjah tambahan, penempatan semula guru tambahan, dan/atau mengetatkan penguatkuasaan kuota enrolmen. Walaubagaimanapun, Kementerian tidak akan mengurangkan bilangan murid bagi setiap kelas daripada 35 orang kerana terdapat bukti kajian antarabangsa yang menunjukkan saiz kelas bukan faktor penyumbang utama kepada pencapaian murid, berbanding kualiti guru. Kementerian sedang membuat penelitian untuk menyediakan setiap sekolah dengan sekurang-kurangnya satu pegawai pentadbiran. Rintis sedang dilaksanakan  di Melaka dan jika didapati berjaya, ia akan diperluaskan keseluruh negara.



Lain-lain artikel berkaitan PPPM :



Saturday, October 5, 2013

Persediaan Temuduga 1 : Sejarah Perkembangan Pendidikan Muzik Malaysia.

Tika dan saat ini, daku sedang sibuk menelaah mengumpul nota2 utkku baca bagi menghadapi temuduga mengisi jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Gred DG41. (PPPS)... meskipun tarikh temuduga bermula pada 21 Oktober 2013, debaran dihati bukan kepalang. 
Ini adalah temuduga terbesar dlm hidupku dan nyata persediaan utk mengharunginya bukan sedikit. Saban malam mencuri sedikit ruang dan peluang mengulangkaji sejurus sahaja puteri kesayangan ku tidur. Maklumla siang hari hampir tiada masa yang berkualiti utkku membaca dan memahami segala artikel yang bermacam tajuk. Ahh...pening rasanya. 
Apatah lg dengan kondisi diri ini yang tak berapa sihat kerana ekzema melanda (bila stress ia pasti datang mnyerang). 

Ya Allah...aku memohon kekuatan daripadaMu Ya Allah..
Terlampau banyak yang perlu ku ulangkaji dan fahami dalam masa beberapa minggu ini. 

Mampukah aku??

Kalian....doakan aku ya :)

Baiklah secara umumnya kesemua bakal calon temuduga perlu tahu mengenai PPPM, NKRA,PBS, FPK, FPN, KSSR dan bermacam lagi. Namun tumpuan juga harus diberikan untuk subjek major dan minor. Hari ini aku baru bermula dgn tajuk Sejarah Perkembangan Pendidikan Muzik Malaysia yang ku copy daripada blog ini.

Marilah kita membaca dan mendapat ilmu bersama-sama. 

Insya Allah.


_________________________________________________________________________________

Sejarah Perkembangan Pendidikan Muzik Malaysia.

Oleh
Ahmad Syahril Abd Wahab
Universiti Pendidikan Sultan Idris
Perak


Pengenalan.

Sejarah pendidikan formal di Malaysia telah menunjukkan bahawa pihak British telah menubuhkan Penang Free School pada tahun 1816. Penubuhan sekolah ini ternyata telah menjadi perintis kepada penubuhan sekolah-sekolah Inggeris yang lain terutamanya di Kuala Lumpur, Ipoh dan Melaka. Dengan penubuhan sekolah-sekolah tersebut maka secara tak langsung bermulanya pembelajaran muzik di negara kita. Pada masa ini pembelajaran muzik di sekolah-sekolah ini hanya merupakan aktiviti kokurikular dan jarang sekali diadakan dalam aktiviti formal. Apa yang nyata kemasukan kuasa penjajah ini merupakan titik tolak kepada bermulanya pendidikan Muzik di sekolah-sekolah. Kedatangan Jepun dilihat sebagai suatu fenomena yang kurang memberi kesan yang ketara terutamanya terhadap terhadap sistem pendidikan di Malaysia. Jika dihitung secara logik jelas bahawa pertapakan kuasa British yang lebih lama di Tanah Melayu lebih banyak memberi impak terutamanya terhadap perkembangan pendidikan muzik di Malaysia dan penulisan pada kali ini akan mengupas tentang perkembangan pendidikan muzik di Malaysia bermula pada zaman penjajahan British sehinggalah pada masa kini..

Pendidikan Muzik Semasa Zaman Penjajahan
Jelas bahawa sistem pendidikan muzik seperti yang wujud pada masa kini mempunyai banyak ciri yang telah diwarisi daripada sistem pendidikan yang telah diwujudkan pada zaman British. Hakikat ini tidak dapat disangkal kerana pihak British telah berusaha dengan sengaja untuk memberikan satu gambaran kepada rakyat Malaya tentang keunggulan dan kehebatan idea-idea British dalam semua aspek kehidupan rakyat kita seperti pendidikan, undang-undang, perubatan, pentadbiran am dan politik. Bermula pada tahun 1816 maka Penang Free School dibuka dan daripada detik inilah diikuti dengan pembukaan beberapa buah sekolah Inggeris lain di Perak, Melaka, Kuala Lumpur, dan di beberapa lokasi lain. Sejajar dengan pembukaan sekolah tersebut telah “membawa bersama” pembelajaran muzik seperti koir dan pancaragam sebagai antara aktiviti kokurikular pada masa tersebut.

Selain itu juga, nyanyian lagu puisi berirama kanak-kanak turut diadakan setiap kali semasa pembelajaran matapelajaran Bahasa Inggeris. Pada masa ini, pihak yang berkuasa telah menentukan bahawa setiap sekolah Inggeris mempunyai sekurang-kurangnya seorang guru yang mahir bermain piano atau mempunyai latar belakang formal dalam sistem muzik barat. Selain itu, nyanyian lagu kanak-kanak, seriosa atau rakyat dari Barat juga turut diadakan semasa pembelajaran Bahasa Inggeris supaya amalan sebegini akan mengukuhkan lagi pembelajaran Bahasa Inggeris. Jelas bahawa pembelajaran muzik pada peringkat ini hanya tertumpu kepada sekolah-sekolah vernakular beraliran Inggeris. Manakala sekolah vernakular, Melayu, Cina dan India begitu ketinggalan dalam aspek ini.

Semasa zaman pentadbiran tentera Jepun, pengajaran muzik telah diadakan di sekolah-sekolah Malaya tetapi pada masa ini para pelajar dikehendaki menyanyikan lagu-lagu patriotik seperti lagu “Komigayu” dan rakyat daripada negara Jepun. Pada masa pentadbiran tentera Jepun, sukatan mata pelajaran juga berdasarkan Dasar Pelajaran Jepun. Namun pemerintahan Jepun itu sendiri tidak meninggalkan sebarang kesan yang jelas dalam sistem muzik Malaysia yang wujud pada masa sekarang. Ini kerana selepas Jepun berundur dari Tanah Melayu selepas Perang Dunia Ke II sistem pendidikan yang pernah wujud sebelum perang itu diamalkan semula apabila pihak British kembali memerintah Malaya. Pada masa ini kita dapat melihat bagaimana para pelajar dikehendaki menyanyikan lagu-lagu rasmi negeri berkenaan dan lagu kebangsaaan Britian iaitu God Save The Queen dalam upacara perhimpunan sekolah terutamanya di sekolah-sekolah Inggeris.

Perkembangan pendidikan muzik di Malaysia begitu ketara terutama sekali selepas zaman penjajahan berakhir. Pada tahun 1950-an, pelajaran muzik dalam bentuk siaran ke sekolah-sekolah telah dimulakan oleh Radio Malaya tetapi hanya di sekolah-sekolah di bandar yang berupaya mengadakan kemudahan radio dapat mengikuti siaran ini. Pada masa ini, para pelajar dari kelas-kelas tertentu dikehendaki menuju ke dewan sekolah bagi mengikuti siaran tersebut. Juga, pada masa tersebut para pelajar sudah mula bermain alat-alat genderang sebagai aktiviti sampingan untuk nyanyian di beberapa buah sekolah Inggeris yang tertentu.

Selain itu, aktiviti meniup rekoder juga telah diadakan di beberapa buah sekolah, khasnya di kawasan bandar-bandar utama. Beberapa buah sekolah Inggeris telah mula menubuhkan pancaragam kawat atau brasben. Kebanyakkan pancaragam ini telah dilatih oleh ahli atau bekas ahli pancaragam tentera. Amalan ini wujud kerana guru-guru muzik yang terlatih daripada maktab-maktab perguruan di Malaysia masih belum menerima latihan dalam aspek mengendalikan aktiviti pancaragam kawat. Kumpulan-kumpulan koir, rekorder dan pancaragam kawat sentiasa dikehendaki membuat persembahan dalam majlis-majlis tertentu dalam takwim sekolah seperti Hari Ucapan, Hari Sukan dan apabila sekolah dilawati oleh orang kenamaan. Namun perkembangan sebegini begitu jarang dinikmati oleh golongan pelajar di sekolah-sekolah luar bandar.

Dengan kewujudan kumpulan-kumpulan muzik seperti ini telah dapat menaikkan imej dan nama sekolah yang berkenaan. Tradisi ini sudah diamalkan oleh sekolah-sekolah Inggeris daripada awal abad ke 20 lagi. Hampir kesemua sekolah berasrama penuh yang ditubuhkan kemudian seperti Maktab Tentera Diraja, Kolej Tunku Khursiah, Kolej Tun Fatimah, Kolej Melayu dan Sekolah Dato Abd Razak juga telah mengadakan semua aktiviti muzik tersebut.

Pendidikan Muzik Selepas Merdeka.

Pada tahun 1960-an dan 1970-an, beberapa buah sekolah telah mengadakan pancaragam muzik yang berbentuk kugiran ( Kumpulan Gitar Rancak) dan angklung. Harus juga disebut di sini bahawa kebanyakkan daripada sekolah-sekolah Mubaligh Kristian seperti sekolah Anglo Chinese, Sekolah Convent dan sekolah Methodist sememangnya terkenal dengan satu tradisi yang unggul bagi koir masing-masing. Dalam perkembangan pendidikan muzik formal di Malaysia pada waktu ini sekolah-sekolah Melayu seolah-olah terpinggir sehinggalah pada tahun 1970-an apabila beberapa buah sekolah rendah telah mengadakan pendidikan muzik atas budi bicara guru-guru besar berkenaan dan jika seseorang guru muzik beredar ditugaskan mengajar di sekolah itu. Sebelum itu, muzik telah diadakan hanya secara sampingan atau kebetulan sahaja melalui nyanyian nasyid dalam pelajaran agama. Walaupun tilawah al-Quran jelas mempunyai unsur-unsur muzik, aktiviti ini tidak dianggap sebagai satu tingkah laku muzikal mengikut tradisi orang-orang yang beragama Islam sama ada di Malaysia atau di negara-negara Islam yang lain.

Pada tahun 1972, muzik telah diadakan sebagai satu mata pelajaran pilihan dalam peperiksaan SRP. Maka, pendidikan muzik secara formal di Malaysia telah bermula pada tahun 1972. Walaupun perkembangan ini hanya melibatkan beberapa buah sekolah di bandar-bandar tertentu sahaja. Sukatan untuk pelajaran muzik SRP ini jelas mempunyai banyak pengaruh daripada sukatan pelajaran Associated Board of Royal Schools Of Music ( ABRSM ), London, terdapat juga sedikit muzik dari Malaysia yang dimuatkan dalam bahagian menghayati muzik.

Muzik daripada budaya Malaysia yang dimaksudkan itu ialah “ Overtur Samudra” yang merupakan satu rangkaian lagu tradisi rakyat Malaysia yang digubah dalam bentuk muzik orkestra Barat. Muzik ini telah digubah oleh Gus Steyn, iaitu seorang pemuzik dan penggubah yang terkenal dalam bidang muzik pada tahun 1960-an dan 1970-an. Kemasukan muzik tempatan dalam kurikulum muzik formal SRP merupakan usaha pertama sekali dalam sejarah pendidikan muzik di Malaysia untuk menjadikan muzik sebagai keperluan penting dalam masyarakat.

Selain itu, pada tahun 1959, sebuah Maktab Perguruan Ilmu Khas di Kuala Lumpur telah memulakan fungsinya melatih guru-guru dalam bidang-bidang khas dan maktab ini telah memulakan khusus dalam bidang pendidikan muzik pada tahun 1971. tempoh kursus dalam bidang pendidikan muzik ini ialah satu tahun sahaja. Guru-guru terlatih yang telah mengajar sekurang-kurangnya lima tahun dan mempunyai minat dan kemahiran tertentu dalam bidang muzik dianggap layak untuk mengikuti khursus ini. Manakala pada tahun 1991, jumlah ini pernah bertambah kepada 40 orang setiap tahun mengikut keperluan semasa. Kursus ini juga dimulakan di Martab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang pada tahun 1983.

Di samping itu, sejarah pendidikan muzik formal terus berkembang apabila pada tahun 1980 apabila bidang gitar dimasukkan ke dalam kurikulum muzik di Martab Perguruan Ilmu Khas. Kemasukan bidang gitar dalam kurikulum formal di maktab merupakan satu tindakan yang amat wajar dan pragmatis yang telah dilakukan oleh pihak Kementerian Pendidikan pada ketika itu.

Selain itu, di Malaysia, pendidikan muzik tidak wujud langsung dalam kurikulum formal di mana-mana Universiti hingga sekarang iaitu mewajibkan setiap pelajar pada peringkat sarjana muda dengan tidak mengira jenis kursus atau disiplin yang dituntutnya mengikut mana-mana satu khusus seni halus termasuk muzik seperti hampir kesemua universiti dan kolej di Amerika Syarikat. Aktiviti-aktiviti muzik yang berkaitan dengan kugiran ( kumpulan gitar rancak) dan kumpulan muzik tradisional seperti asli dan ghazal dikelolakan oleh seorang pegawai kebudayaan. Manakala pada tahun 1984, pendidikan muzik telah disediakan diperingkat diploma di Institut Teknologi Mara ( ITM ) di Shah Alam. Di ITM dua program muzik yang boleh dipelajari ialah pendidikan muzik dan muzik gunaan.

Akibat timbul kesedaran tentang kepentingan muzik, pihak ITM pada tahun 1991, merancang menyediakan satu pusat etnomusikologi untuk memperkembangkan muzik tradisional di Malaysia. Kurikulum muzik di ITM meliputi beraneka jenis muzik termasuk muzik seriosa Barat, jaz dan pop. Oleh itu, rasional dan pendekatan ITM untuk pendidikan muzik adalah kurang konservatif jika dibandingkan dengan yang wujud dalam program muzik di maktab-maktab perguruan selama ini.

Selain itu, pendidikan muzik formal juga diajar oleh sektor swasta. Sistem ini adalah pengajaran bermain piano atau mana-mana alat muzik daripada budaya seriosa Barat seperti violin secara persendirian. Perkembangan ini sangat abik untuk pendidikan muzik terus berkembang dan kesedaran masyarakat tentang muzik semakin bertambah. Masyarakat mula sedar bahawa sistem pembelajaran sesuatu ilmu termasuk muzik secara berguru ini memang wujud dalam budaya tempatan di rantau ini dari zaman dahulu lagi.

Pada zaman ini, banyak pemuzik dari India dan Filipina yang terlatih dalam sistem muzik Barat telah diimport oleh pihak British ke Malaya. Hal ini berlaku kerana ahli muzik tempatan pada ketika itu kurang mahir terutama dalam sistem notasi muzik Barat adalah kurang. Pemuzik-pemuzik yang diimport itu membolehkan pihak British menubuhkan pancaragam-pancaragam berkawat yang sangat diperlukan ketika itu untuk memeriahkan lagi beberapa upacara dan majlis rasmi.

Sistem pendidikan muzik formal ABRSM telah mendatangkan beberapa pengaruh positif. Sistem ini telah membolehkan satu segmen atau golongan kecil dalam masyarakat Malaysia mengenali, memahami dan menghayati muzik seriosa dari budaya Barat. Selain itu, sistem pendidkan muzik ala ABRSM juga mempunyai kelemahan dari segi falsafah pendidikan muzik kerana memerlukan kos yang tinggi dan hanya mampu di penuhi oleh golongan elit sahaja.

Sejak 20 tahun kebelakangan ini, beberapa peperiksaan yang luar daripada tradisi ABRSM tetapi bersijil juga telah dijayakan oleh beberapa sekolah muzik swasta khasnya untuk gitar dab organ. Tetapi hampir kesemua sekolah muzik ini merupakan institusi-institusi yang wujud secara berasingan dengan syarikat-syarikat muzik yang menjual alat-alat muzik seperti piano, gitar dan organ. Sistem pendidikan muzik swasta ini lebih peka segala perkembangan dan aliran semasa dalam arena pendidikan muzik pada peringkat antarabangsa. Oleh itu, sekolah-sekolah swasta telah memperlihatkan serta membuktikan satu sikap dan kesanggupan yang lebih progresif dan pragmatis terhadap bebepara strategi dan pendekatan semasa untuk mengajar muzik kepada pelajar.

Selain itu, perkembangan pendidikan muzik juga berkembang melalui latihan luar negeri dalam bidang pendidikan muzik. Mulai tahun 1960-an lagi kerajaan telah mula menghantar beberapa orang guru terlatih yang mempunyai minat dan kelayakan formasi dalam muzik ke England untuk mengikuti kursus muzik peringkat diploma lanjutan di sana. Tetapi pada akhir tahun 1970-an, kerajaan telah memulakan satu aliran baharu dengan menghantar pendidik-pendidik muzik dalam perhidmatan kerajaan ke negara-negara lain seperti Amerika Syarikat dan Indonesia untuk pengajian tinggi dalm bidang pendidikan muzik.

Perkembangan baharu ini juga selaras dengan dasar kerajaan Malaysia, khasnya di bawah pimpinan YAB Dr. Mathathir Mohamad tentang keperluan untuk mempelbagaikan pendedahan yang diberikan kepada pelajar-pelajar Malaysia di seberang laut dalam hampir semua bidang. Ketika itu, pengajian di lauar negeri hampir sering dimaksudkan pengajian di United Kingdom dan oleh kerana itu juga hampir semua pendidik muzik utama di Malaysia hingga tahun 1980-an amat dipengaruhi oleh sistem pengajaran dan pembelajaran muzik ala ABRSM di England.

Lantaran itu, banyak pendidik muzik dalam perhidmatan kerajaan yang berijazah dan yang tidak berijazah telah dianugerahi biasiswa dan dihantar ke Amerika Syarikat oleh kerajaan mulai dari akhir tahun 1970-an. Selepas itu, perubahan yang ketara dalam arena pendidkan muzik di Malaysia hanya berlaku pada tahun 1988 apabila sukatan pelajaran untuk pendidikan bagi kursus asas muzik di maktab-maktab perguruan dirombak semula.

Pada bulan Disembar 1990. sukatan pelajaran bagi kursus Khas Muzik juga di selaraskan dengan sukatan pelajaran bagi kursus asas. Oleh itu, semua bidang baharu tersebut, iaitu pedagogi muzik, penghayatan muzik, muzik amali dan sejarah muzik diadakan bagi kali pertama bagi pelajar kursus khas pada tahun 1991.

Kebanyakkan pendidik muzik dari Malaysia yang menuntut muzik di England pada tahun 1970-an telah mengikuti kajian dalam bidang persembahan muzik dalam tradisi seriosa Barat. Mereka telah mempelajari muzik di sekolah-sekolah muzik yang bertradisi konservatorio muzik ketika di England. Tetapi pendidik muzik yang dihantar ke Amerika Syarikat oleh kerajaan telah diwajibkan mengikuti kajian dalam bidang pendidikan muzik per se.



Kesimpulan.

Secara kesimpulannya, sejarah perkembangan muzik di Malaysia melalui pelbagai peringkat perkembangan yang akhirnya membawa kepda pengiktirafan dalam pendidikan formal di Malaysia. Pendidikan muzik mula ditawarkan di peringkat SRP dan seterusnya berkembang ke institut-institut perguruan dan di Universiti tempatan. Selain itu, pelajar-pelajar Malaysia juga di hantar ke England untuk mempelajari muzik di sana. Perkembangan ini dilihat secara positif terhadap perkembangan pendidikan muzik di Malaysia. Selain itu, kesedaran masyarakat terhadap kepentingan muzik dalam kehidupan dapat memberi peluang kepada pendidikan muzik ini supaya lebih berkembang. Minat masyarakat terhadap muzik terutama dalam kehidupan sangat penting untuk menghilangkan ketegangan dan di samping mendapatkan hiburan sampingan. Kesedaran tentang pentingnya mengekalkan tradisi muzik rakyat di Malaysia sudah mula dirasakan. Pihak-pihak tertentu juga sedang berusaha untuk memulakan program muzik tradisional sebagai aktiviti kokurikulum di beberpa buah sekolah yang terpilih di serata negeri di Malaysia. Golongan pendidik muzik pun mula berfikir semula secara mendalam lagi tentang pendekatan lama dan baharu untuk menyampiakan muzik dengan lebih berkesan dan bermakna. Dengan segala perkembangan yang telah berlaku dalam arena pendidikan muzik di Malaysia baru-baru ini, masa depan pendidikan muzik kelihatan lebih cerah sekarang jika dibandingkan dengan satu masa dahulu dan jika semua pihak berkerjasama dalam mengatasi masalah yang ada, maka kualiti pendidikan muzik di Malaysia boleh di pertingkatkan lagi ke satu tahap yang boleh dibanggakan di rantau ini.


Pihak Penaja :

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...